Ikrar Pakatan Rakyat untuk Selesaikan Masalah Masyarakat India, Dayak dan lain-lain yang Tidak Mempunyai Dokumentasi Pengenalan Diri (sijil lahir/kad pengenalan)

Pakatan Rakyat berikrar, sebaik menubuhkan kerajaan persekutuan kelak, kami akan menyelesaikan permasalahan yang telah sekian lama diabaikan, iaitu masalah sebilangan besar rakyat Malaysia yang tidak punya dokumen pengenalan diri, terutamanya sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Saya nyatakan disini bahawa isu ini akan menjadi keutamaan Pakatan Rakyat dan kami akan berusaha sesegera mungkin dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Terdapat ratusan ribu masyarakat India, Dayak dan lain-lain yang lahir di Malaysia hidup tanpa dokumentasi pengenalan diri yang sah kerana prosedur kerajaan itu sendiri yang menggagalkan mereka. Tanpa dokumen tersebut, mereka dinafikan hak untuk bersekolah, bekerja, mendapat perkhidmatan kesihatan, keselamatan, bantuan kerajaan dan juga hak mengundi.

Kebanyakan dari mereka adalah daripada latarbelakang yang sangat miskin dari segi ekonomi. Tanpa dokumen tersebut, mereka akan terus dipinggirkan dan dipandang hina oleh masyarakat setempat. Mereka juga disisihkan secara total dari menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Jumlahnya sangat besar dalam komuniti India dan sebilangan kecil dalam masyarakat Dayak; pelbagai janji telah ditabur oleh Barisan Nasional dan pemimpin-pemimpin mereka, namun ternyata ianya hanya retorik politik yang memualkan.

Hak kerakyatan adalah hak yang paling fundamental dalam sebuah negara yang demokratik.

Bahagian 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa, tiada seorang pun boleh dinafikan kerakyatannya di Malaysia. Namun, masih ramai yang dinafikan hak tersebut kerana sejak sekian lama mereka telah diabaikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tambahan pula, kebanyakan mangsa adalah warganegara, melalui kuatkuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dan mereka dilahir dan dibesarkan di Malaysia. Mereka ini, samada tanpa dokumentasi atau dipaksa untuk menerima MyKad yang ditetapkan untuk bukan warganegara.

Satu kes telah mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia dua minggu lalu. Reshina Batumanathan, seorang pelajar Tingkatan 5, lahir dan dibesarkan disini telah berulangkali dinafikan MyKad. Jabatan Pendaftaran Negara telah mengeluarkan permit bukan warganegara kepadanya supaya beliau boleh menyambung persekolahannya. Masa depannya kabur dan tidak menentu tanpa MyKad yang sepatutnya dimiliki beliau. Reshina adalah contoh rakyat Malaysia yang dinafikan kerakyatannya.

Isu ini adalah isu moral, yang paling utama dalam keadilan sosial. Reshina dan ratusan ribu yang lain yang tidak punya dokumentasi pengenalan diri dipinggir di negara sendiri. Pakatan Rakyat akan menjuarai permasalahan ini dan akan mengembalikan hak mereka yang dijamin Perlembagaan Persekutuan apabila menubuhkan kerajaan persekutuan kelak.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG

via AnwarIbrahimblog.com

Posted in Kenyataan Media | Leave a comment

Kasih Anak: Saya Tidak Pernah Derhaka

Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak menganggu ibu saya dan UMNO janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik UMNO yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh UMNO dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah UMNO. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

via AzminAli.com

Posted in Pengumuman dan Hebahan | Leave a comment

Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Selamat menduduki peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan 3 di seluruh negara, khususnya di negeri Perlis Indera Kayangan. Semoga kejayaan mengiringi dan menjadikan anda manusia yang berguna untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Posted in Pengumuman dan Hebahan | Leave a comment

Ibadah Haji

Selamat menunaikan ibadah Haji kepada semua jemaah yang terpilih. Semoga dikurniakan Haji Mabrur. Doakanlah kesejahteraan berkekalan buat negara ini.

Posted in Pengumuman dan Hebahan | Leave a comment

Sambutan Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48

Sempena Sambutan Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48, marilah kita semua merenung semula makna diri merdeka. Kita tidak pernah bercita-cita untuk mencapai kemerdekaan bagi membolehkan negara ini ditadbir dengan rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman.

Meskipun mengalukan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Undang-Undang Darurat, Keadilan Perlis ingin menegaskan bahawa UMNO-BN tidak pernah berjuang untuk memansuhkannya, bahkan menentang para pejuang yang berusaha memansuhkannya. Ramai yang telah dizalimi melalui penggunaan Akta ini.

Untuk sebuah kerajaan memansuhkan Akta zalim yang mereka sendiri pertahankan, tiada apa yang patut dibanggakan.

Keadilan Perlis akan menunggu perincian 2 Akta baru yang akan digubal kelak.

 

Posted in Pengumuman dan Hebahan | Leave a comment